Jalan-Jalan Cari
Makan di Kawasan Kuala Selangor- Sabak Bernam
Setiap manusia sememangnya mempunyai
keinginan untuk mencuba sesuatu yang baru dalam hidupnya, tidak kiralah
mengenai cabaran, pekerjaan dan sebagainya. Setiap individu mestilah mempunyai
perasaan untuk mencuba sesuatu yang belum pernah dialaminya seperti mencuba
makanan-makanan yang tidak diperoleh di tempat tinggal mereka sendiri sambil berjalan
atau makan angin di kawasan tersebut. Justeru, saya ingin kongsikan kepada anda
mengenai makanan-makanan yang boleh menggiurkan air liur apabila anda melalui
kawasan Kuala Selangor-Sabak Bernam. Tambahan pula, apa yang menarik sekali
ialah setiap kedai ataupun warung yang saya katakan di bawah hanya berada di
tepi jalan persekutuan sahaja tanpa perlu memasuki lorong-lorong kecil. Anda
sudah bersedia!, Jom kita mulakan pengembaraan mencari tempat makanan.
1) Karipap
Gergasi
Gerai Karipap
Gergasi
Sekiranya anda
melalui Lebuhraya LATAR untuk ke Kuala Selangor, jangan lupa untuk menjeling ke
sebelah kanan jalan kerana gerai karipap gergasi ini terletak di bahu jalan
raya sahaja sebelum sampai simpang tiga jalan persekutuan (jarak gerai ke
simpang tiga jalan persekutuan hanya 200 meter). Tambahan pula, gerai tersebut
berdekatan dengan cendol Bakar Kuala Selangor. Anda boleh membeli karipap
gergasi dengan harga serendah RM3.50 satu sama ada inti daging atau ayam. Apa
yang menarik perhatian ialah karipap tersebut dibuat sendiri dan digoreng
disitu yang menambahkan lagi keenakan serta kerangupan karipap tersebut.
2) Cendol Bakar
Rupa
bentuk warung Cendol Bakar
Selepas singgah di gerai Karipap
Gergasi, basahkanlah tekak anda selepas makan karipap ataupun setelah penat
memandu di Lebuhraya dengan singgah di Cendol Bakar. Apakah yang menarik di
Cendol Bakar ini? Adakah cendol yang dibuat dibakar dahulu? Semestinya
soalan-soalan sedemikian bermain di minda anda, mengapa pemiliknya menamakan
“cendol Bakar”? Sebenarnya, soalan-soalan yang bermain difikiran adalah meleset
sama sekali kerana yang dinamakan Cendol Bakar disebabkan pemiliknya bernama
En. Bakar. Oleh itu, pemiliknya menamakan cendol tersebut sempena nama beliau.
Konsep Cendol Bakar ini adalah berlainan dengan warung atau gerai cendol yang
lain kerana mempunyai ‘drive-thru’ seperti di KFC dan MCD. Bagi yang tiada
kesempatan untuk merasai cendol disitu, pembeli boleh menggunakan cara pandu
lalu untuk membeli cendol. Amat mudah cara tersebut dan jangan sangka hanya
‘Fast Food’ sahaja mempunyai perkhidmatan pandu lalu tetapi di Cendol Bakar juga
mempunyai perkhidmatan sedemikian.
3) Mee Udang
Bagan Nakhoda Omar (BNO)
Singboard
ke Mee Udang BNO
Apabila anda sampai ke Sabak Bernam,
jika berkesempatan pergilah merasai Mee Udang banjir di Pantai Bagan Nakhoda
Omar atau lebih popular dikenali oleh penduduk tempatan dengan nama pantai BNO.
Lokasi Mee Udang ini terletak di tepi pantai iaitu di deretan kedai yang berada
di kawasan itu. Anda hanya perlu mencari kedai yang bernama Jaitun Laksa Pantai
untuk merasai Mee Udang Banjir. Jangan terkeliru dengan nama laksa kerana
kebanyakan pengunjung ke Pantai BNO merasai Mee Udang Banjir yang lazat di
samping udang yang fresh lagi. Maklumlah kawasan yang kaya dengan hasil laut,
maka tidak hairanlah untuk mencari makanan laut yang fresh amat mudah sekali di
kawasan ini. Sambil makan Mee Udang anda akan merasai angin pantai sepoi-sepoi
bahasa di petang hari. Sesuai untuk menenangkan fikiran akibat kesibukan serta
tekanan kerja dengan berkunjung disini pada setiap petang atau pada hujung
minggu.
4) Nata De Coco
Nata
De Coco Sungai Limau
Nata De Coco buatan orang kampung
Sungai Limau hasil titik peluh perniagaan kecil-kecilan sehingga menjadi produk
Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Jika anda membeli Nata De coco di
kedai-kedai atau Pasaraya, anda tidak akan mendapat harga semurah seperti
dijual disini. Dengan RM10 anda boleh mendapatkan tiga balang Nata De Coco
pelbagai perisa seperti laici, mangga, anggur dan lain-lain lagi. Justeru, amat
berbaloi sekali untuk membeli kerana boleh menjadi buah tangan kepada rakan
pejabat atau sanak-saudara.
5) Mentarang
Bakar
Mentarang di
Kampung Sungai Leman
Merasai sejenis hidupan laut yang
jarang didapati di sesuatu tempat tetapi Sekinchan mempunyai hidupan laut ini.
Sejenis hidupan laut yang mempunyai cengkerang seperti kerang, remis dan siput
sedut. Bagi penggemar makanan laut, anda perlu mencuba untuk merasai sendiri
kemanisan mentarang kerana tidak semua tempat mempunyai hidupan ini. Anda boleh
merasai mentarang di kedai ini atau membelinya secara mentah untuk dimasak
sendiri di rumah. Gerai Mentarang tersebut terdapat di tepi jalan raya
persekutuan apabila melalui Kampung Sungai Leman yang tidak jauh dengan Pekan
Sekinchan.
6) Dodol Ani
Dodol
buatan orang tempatan
Berita baik untuk penggemar dodol
yang sudah lama tidak merasainya kerana anda boleh mendapatinya di Sekinchan.
Perkara menarik yang ingin saya kongsikan ialah dodol yang dibuat tidak
menggunakan bahan pengawet, sentiasa segar kerana dibuat setiap dua atau tiga
hari bergantung kepada tempahan. Selain itu, dodol boleh didapati tidak kira
masa, waktu dan hari kerana dijual pada setiap hari. Anda boleh mendapatinya
bila-bila masa sahaja tanpa menunggu hari tertentu untuk merasainya. Dodol yang
terdapat disini mempunyai pelbagai perisa seperti dodol asli, durian, pulut
hitam serta serendah RM5 untuk membelinya.
7) Kilang Kerepek
Masri
Bangunan Kerepek Masri
Dapatkan kerepek untuk dibuat
kudapan ketika memandu dalam perjalanan pulang ke bandar. Anda boleh membeli
kerepek yang terjual disini dengan harga yang berpatutan di samping mempunyai
pelbagai jenis kerepek seperti kerepek pisang, kerepek ubi, kerepek sukun,
kerepek kacang soya, dan banyak lagi. Jangan ketinggalan untuk merasai dan
membeli bahulu yang panas-panas baru dikeluarkan dari ketuhar. Bahulu yang
tiada bahan pengawet serta kelembutannya menambahkan lagi keenakan bahulu.
8) Kari Sembilang
Kg. Pinang
Kari
Sembilang Kg. Pinang
Mencuba untuk merasai kari sembilang
di Kampung Pinang yang dibuka 24 jam dan pemiliknya adalah orang Melayu
tempatan. Merasai kenikmatan kari sembilang ketika perut kosong sememangnya
menambahkan lagi selera untuk makan kari ikan sembilang.
9) Mee Udang
Banjir
Jika anda sudah mencuba Mee Udang di
Pantai BNO, rasai pula Mee Udang Banjir Tanjong Karang pula. Lokasinya
bersebelahan dengan Masjid
Jamiul Hasanat Batu 10 Tanjong Karang. Belum cuba belum tahu mengenai rasanya.
Selamat mencuba!
10) Satay Hut
Jika di Selangor terkenal dengan
Sate Kajang tetapi di Tanjong Karang terkenal dengan Sate Hut. Lokasinya agak
strategik kerana berada di tengah-tengah Pekan Tanjong Karang iaitu berhampiran
dengan Hospital Tanjong Karang. Menu di Sate Hut tidak tertumpu kepada Sate
sahaja tetapi pelbagai makanan bergoreng dan sup juga dijual di sini. Sate yang
dijual terbahagi kepada tiga jenis iaitu kecil, sederhana, dan besar. Amat
sesuai untuk membawa keluarga makan disini. Waktu operasinya dari pukul 6
petang hingga 2 pagi.
11) Keropok
Losong
Walaupun Terengganu mempunyai
Industri Keropok Losong yang berkembang pesat tidak bermakna di Tanjong Karang
tiada penjual Keropok Losong. Keropok Losong buatan orang tempatan ini
sememangnya digemari oleh orang tempatan dan jangan terkejut untuk jualannya
pada setiap hari semestinya habis dibeli oleh orang tempatan atau orang luar.
Lokasinya berdekatan dengan Pusat Jualan dan Servis Perodua Tanjong Karang.
12) Nasi Ambeng (Warung Ibu)
Warung Ibu di
tepi Jalan Persekutuan
Salah satu makanan masyarakat Jawa
di Tanjong Karang. Pada asalnya nasi ambeng dibuat untuk dihidangkan pada
majlis kenduri arwah misalnya untuk hidangan para tetamu. Perubahan zaman telah
menukar tradisi nasi ambeng yang boleh dimakan bukan pada waktu kenduri sahaja
malahan pada waktu biasa anda boleh menikmatinya. Waktu yang ideal untuk ke
sini ialah pada waktu tengah hari dari pukul 11 pagi hingga pukul 2 petang. Lokasinya
juga tidak jauh dengan Perodua Tanjong Karang.
13) Dinding Gelas
Besar
Merasai nikmat ‘Coconut Shake’ di dinding gelas besar
yang terletak di Batu 4, Sg Terap (Jalan Besar Klang-Teluk Intan) Tg Karang,
Selangor. Waktu operasinya dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Pelbagai pilihan
makanan ada di sini seperti nasi campur, jus buah-buhan, dan lain-lain lagi.
Sesuai untuk makan tengah hari dan menghilangkan kekeringan tegak dengan
mencuba menu popular iaitu “Coconut Shake’.
14) Cendol Durian
Borhan
Selepas merasai cendol Bakar, cuba
pula ke cendol Durian Borhan untuk mengetahui perbezaan kedua-dua cendol
tersebut. Pelbagai jenis cendol dijual untuk memenuhi citarasa pelanggan antaranya
cendol durian dan
cendol labu. Gerai Cendol Durian Borhan ini terletak di Bt. 2, Pasir Penambang,
Kuala Selangor.
15) Warong Soto
Mencuba kelainan dengan merasai
keenakan Soto di Warong Soto yang terletak di Batu 2, Jalan Kuala Selangor -
Tanjong Karang 45000 Pasir Penambang, Selangor. Walaupun namanya Warong Soto
tetapi terdapat menu lain yang ada disini contohnya nasi ayam, nasi goreng
pelbagai jenis dan banyak lagi. Waktu kedai dibuka bermula jam 11 pagi hingga
11 malam pada hari ahad pula dibuka sehingga jam 9 malam sahaja.
No comments:
Post a Comment